Ramadhan datang lagi. Aktiviti mancing terpaksa dihadkan. Bukannya apa, takut terkantoi puasa. Jadi masa yang terluang digunakan untuk menulis artikel dan mengemaskinikan blog ini.Sudah berpuluh kali rakan mengajak ke Bagan Dato' untuk mengilat haruan. Tidak pernah saya endahkan. Pergi sejauh itu hanya untuk mengilat haruan. Buang masa saja. Lagipun masa kecil saya di kampung dulu banyak saya habiskan dengan memancing haruan. Mungkin kerana itulah saya agak kurang berminat untuk memancing ikan haruan ini. Pernah saya terfikir kenapa mereka suka sangat ke Bagan Dato' untuk mengilat haruan. Sudah pupuskah populasi haruan di sekitar Selangor atau Kuala Lumpur ini. Atau rasa ikan haruan di Bagan Dato' lebih sedap berbanding rasa haruan di Selangor atau Kuala lumpur ini. Hanya mereka sahaja yang boleh memberi jawapannya.
Kalau dahulu ketika remaja saya mengilat haruan ini dengan menggunakan umpan original iaitu katak. Sekarang ini ianya dianggap sedikit kejam. Mereka lebih gemar menggunakan umpan tiruan seperti gewang, janggut atau soft plastic. Pernah sekali saya mengikut mereka ke Bagan Dato'. Di sana banyak terdapat parit-parit di tepi jalan besar maupun jalan kampung. Di situlah lokasi yang mereka tujui. Agak terkejut saya kerana tidak terlintas di fikiran saya bahawa parit yang kelihatan biasa saja ini didiamini oleh haruan. Percaya atau tidak, terpaksalah percaya apabila seekor demi seekor dinaikkan.Akhirnya, berjaya juga saya mendapatkan lesen mengilat haruan ini dengan menggunakan umpan tiruan.




No comments:
Post a Comment